'Asyik cari salah BN, rupanya Pas lebih teruk'

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, perkembangan melibatkan menantu Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu tidak ubah seperti 'meludah ke langit terpercik ke muka sendiri'.
Menurutnya, ia membuktikan Pas sebenarnya lebih teruk berbanding tohmahan-tohmahan yang dilemparkan pimpinan parti itu terhadap BN atau UMNO selama ini.
"Mereka kata kerajaan BN teruk, tapi kali ini jelas parti itu (Pas) lebih teruk berbanding BN sendiri.
"Kepada parti pembangkang, janganlah asyik tuding jari kepada kita (BN), sekarang mereka terima balasannya malah lebih teruk," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di sekitar Kuala Berang dekat sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengulas isu peletakan jawatan Abdul Ariffahmi selepas diarahkan Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan.
Akhbar hari ini melaporkan, Abdul Ariffahmi akur arahan Nik Abdul Aziz itu.
Shahrizat memberitahu, selama ini Pas terlalu asyik 'mengajar orang' sedangkan mereka sendiri tidak terlepas melakukan kesilapan malah lebih teruk. - Utusan
Comments