Sultan Selangor Berkenan Batalkan Pelantikan Hasan Ali
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membatalkan pelantikan Datuk Dr Hasan Ali sebagai Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaaan Negeri.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata keputusan itu dibuat atas nasihatnya kepada baginda ketika menghadap Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan di sini pada Jumaat.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata keputusan itu dibuat atas nasihatnya kepada baginda ketika menghadap Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan di sini pada Jumaat.
"Tuanku Sultan telah bersetuju dengan pendapat saya dan baginda akan menulis surat pembatalan pelantikan Datuk Dr Hasan sebagai ahli Exco," katanya pada sidang media.
Sebelum ini, Abdul Khalid meminta Hasan mengosongkan jawatan Exconya secara sukarela kerana beliau telah dipecat daripada PAS dan tidak lagi mewakili parti itu dalam kerajaan negeri.
Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu dipecat daripada PAS pada Ahad lepas kerana tindakannya yang dikatakan menyalahi dan merugikan kepentingan parti itu.
Hasan memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor.
Abdul Khalid berkata Pejabat Sultan Selangor akan mengutus surat rasmi kepada Hasan dalam masa terdekat mengenai pembatalan pelantikan jawatannya itu.
"Beliau (Hasan) kini bercuti," katanya.
Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata Sultan Selangor telah menurunkan kuasa baginda kepada beliau untuk melantik anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri yang baru.
"Baginda Sultan juga menasihatkan saya agar menjalankan tanggungjawab ini dengan bijaksana tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak," kata menteri besar itu.
Abdul Khalid berkata pihaknya telah menerima surat rasmi bertarikh 10 Jan daripada Jawatankuasa PAS Pusat yang menyatakan Hasan telah dipecat daripada parti dengan serta-merta.
Ditanya sama ada beliau menerima senarai calon pengganti Hasan daripada PAS pusat, beliau berkata: "Tidak terima secara rasmi."
Bagaimanapun, beliau berkata pelantikan exco baru akan disempurnakan di Istana Bukit Kayangan pada Rabu ini (18 Jan). - BERNAMA
Comments